blog ini mengupas secara ringan masalah islam melalui hal yang sederhana, namun tetap berkualitas

19 Mei 2011

HUKUM TAHLILAN DAN DOA SELAMAT


MENURUT MAZHAB IMAM SYAFIE
( BENARKAH KITA BERMAZHAB SYAFIE ATAU BERMAZHAB ORANG TUA ? )

BAB PERTAMA

MENGIRIM PAHALA BACAAN KEPADA MAYAT

BERTAHLIL merupakan satu perbuatan bacaan yang dilakukan untuk dikirimkan kepada seseorang yang eninggal dunia atau roh mayat. Ia merupakan satu tradisi tetap yang diamalkan di kalangan masyarakat kita pada hari ini.
Lazimnya, bacaan yang diucapkan semasa bertahlil ialah sedikit daripada ayat-ayat al-Qur'an yang tertentu, kalimah La Ilaha Illa Allah atau Subhanaallah atau lain-lain dengan niat bacaan-bacaan tersebut dapat dihadiahkan atau dikirimkan kepada orang yang meninggal dunia atau roh mayat di kalangan orang Islam.Terdapat seperkara yang belum diketahui oleh banyak di kalangan orang Islam sama ada yang benar-benar mengikut mazhab Imam Syafie atau mereka yang hanya mengikut-ikut sahaja, adalah amalan bertahlil dan doa selamat yang kononnya dikirimkan untuk seseorang yang mati sebenarnya bertentangan dengan banyak pendapat di kalangan ulama-ulama yang bermazhab imam Syafie. Ini termasuklah imam Syafie sendiri yang tidak sependapat atau tidak setuju dengan amalan bertahlil dan doa selamat.Terdapat juga ulama-ulama yang berpendapat amalan tersebut boleh dilakukan,
namun pandangan tersebut adalah sangat lemah dan amat bertentangan dengan ajaran al-Qur'an (pada surah an-Najm ayat 39 dan sunnah nabi Muhammad serta para sahabatnya).
Di bawah ini penulis cuba membawakan sebahagian daripada pendapat ulama Safiyah berikutan masalah amalan tersebut. Pendapat-pendapat ini telah diambil dari kitab-kitab tafsir, kitab-kitab feqah dan kitab-kitab syarah hadith. Pendapat tersebut juga merupakan pegangan kuat bagi penulis.1. Pendapat Imam Syafie rahimahullah & Ulamak-Ulamak Imam Syafie.
Imam Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya, Syarah Muslim yaitu,"Adalah, bacaan al-Qur'an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat), maka pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie ialah amalan tersebut tidak akan sampai kepada mayat. Sebagai dalilnya, imam Syafie dan para pengikutnya mengambil daripada firman Allah SWT (yang bermaksud), "Dan seseorang itu tidak akan memperoleh melainkan pahala daripada daya usahanya sendiri".
Serta dalam sebuah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah segala amal usahanya kecuali tiga daripada amalnya, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak (lelaki atau perempuan) soleh yang berdoa untuk simati" (an-Nawawi, Syarah Muslim : juz 1 hal; 9)
Lagi daripada imam Nawawi di dalam kitab Taklimatul Majmu', Syarah Mazhab ada mengatakan,"Adalah, membaca al-Qur'an dan mengirimkannya sebagai pahala untuk seseorang yang mati dan menggantikan sembahyang untuk seseorang yang mati atau sebagainya adalah tidak sampai kepada mayat yang dikirimkan menurut Jumhur Ulama dan imam Syafie. Keterangan ini telah diulang beberapa kali oleh imam Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Muslim" (as-Subuki, Taklimatul Majmu', Syarah Muhazab: juz 10, hal; 426)
Menggantikan sembahyang untuk si mati bermaksud menggantikan sembahyang yang telah ditinggalkan oleh si mati semasa hidupnya.
2. Al-Haitami di dalam kitabnya, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, berkata sebagai,"Bagi seseorang mayat, tidak boleh dibacakan kepadanya apa-apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama Mutaqaddimin (terdahulu) yaitu baca-bacaan yang disedekahkan kepada si mati adalah tidak akan sampai kepadanya kerana pahala bacaan tersebut pembaca sahaja yang menerimanya. Pahala yang diperolehi hasil daripada sesuatu amalan yang telah dibuat oleh amil (orang yang beramal) tidak boleh dipindahkan kepada orang lain berdasarkan sebuah firman Allah yang berbunyi, "Dan manusia tidak memperolehi kecuali pahala dari hasil usahanya sendiri". (Al-Haitami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah : juz 2, hal; 9)

3. Imam Muzani, di dalam Hamisy al-Umm, juga berkata,"Rasulullah SAW telah memberitahu sebagaimana yang telah pun diberitakan dari Allah bahawa dosa seseorang akan menimpa dirinya sendiri seperti halnya sesuatu amal yang telah dikerjakan adalah hanya untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain dan ia tidak dapat dikirimkan kepada orang lain". (Tepi al-Umm as-Syafie : juz 7, hal ; 269)

4. Imam al-Khazin di dalam tafsirnya mengatakan,"Dan yang masyhur di dalam mazhab Syafie adalah, bahawa bacaan al-Qur'an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat) adalah tidak dapat sampai kepada mayat yang dikirimkan" (Al-Khazin, al-Jamal : Juz 4, hal ; 236)

5. Di dalam tafsir Jalalain telah disebutkan seperti berikut,
"Maka seseorang tidak akan memperolehi pahala sedikit pun dari hasil usaha orang lain".
(Tafsir Jalalain : juz 2, hal ; 197)
6. Ibnu Katsir di dalam tafsirnya, Tafsirul Qur'anil Azim telah menafsirkan surah an-Najm ayat 39 sebagai, " yaitu, sebagaimana dosa seseorang tidak boleh menimpa ke atas orang lain, begitu juga halnya seseorang manusia juga tidak boleh memperolehi sebarang pahala melainkan dari hasil usaha amalannya sendiri. Dan daripada surah an-najm ayat 39 ini, Imam Syafie r.a dan para ulama yang mengikutnya telah mengambil kesimpulan bahawa, sebarang pahala bacaan yang dikirimkan kepada mayat adalah tidak akan sampai kepadanya kerana amalan tersebut bukan daripada hasil usahanya sendiri. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW tidak pernah menganjurkan umatnya agar mengamalkan (pengiriman tahlil atau doa selamat).
Baginda juga tidak pernah memberikan bimbingan sama ada dengan nas atau berupa isyarat di dalam hal tersebut. Terdapat juga di kalangan para sahabat ada yang melakukan amalan tersebut tetapi sekiranya amalan tersebut memang satu amalan yang digalakkan, tentunya mereka telah mengamalkannya lebih dari dulu lagi sedangkan amalan korban (mendekatkan diri kepada Allah) juga terdapat batasan-batasan nas yang terdapat di dalam di dalam al-Qur'an dan sunnah Rasul SAW dan tidak boleh dipalingkan dengan qias-qias atau pendapat-pendapat ulama".
Demikianlah beberapa pendapat ulama Safiyah yang menyentuh tentang amalan bertahlil dan pengiriman pahala bacaan kepada si mati. Namun begitu, ternyata pendapat-pendapat tersebut telah bersepakat dan mempunyai satu pandangan yang teguh yaitu mengirimkan pahala bacaan al-Qur'an kepada si mati adalah tidak akan sampai kepada si mati atau roh yang dikirimkan.
Kini, jelaslah bahawa pengiriman pahala melalui amalan tersebut tidak akan sampai kepada si mati. Jadi, segala amalan yang dilakukan seperti itu merupakan satu amalan yang sia-sia atau membazir sedangkan Islam amat melarang umatnya dari membazir.Dasar hukum yang telah para ulama tersebut ambil adalah dari firman Allah SWT di dalam surah an-Najm ayat 39 dan melalui hadith nabi Muhammad SAW yang menerangkan bahawa apabila seseorang manusia itu mati, segala amalannya di dunia telah terputus kecuali tiga keadaan yaitu, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak-anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya. Apabila sudah jelas tentang hukum mengamalkan tahlil dan doa selamat, kini timbul pula masalah lain yaitu di dalam bacaan tahlil sendiri ada menyebut, "Allahumma ausil tsawaba ma wara'nahu ila ruhi fulan". Maksudnya, "Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaan tahlil kami tadi kepada roh si Fulan".
Persoalan tersebut bolehlah dijawab, bahawa para ulama telah bersepakat, pengiriman pahala melalui bacaan tidak akan sampai kepada roh yang dikirimkan kerana ianya bertentangan dengan firman Allah di dalam surah an-Najm ayat 39.
Jika difikirkan secara dalam, amalan bertahlil ini amat canggung di sisi Islam. Mana tidaknya, bertahlil atau mengirimkan pahala melalui bacaan kepada seseorang mayat merupakan satu perbuatan yang melanggar syariat Allah, tetapi kemudian dimohon pula agar tahlil tersebut diberikan pahala dan pahalanya pula dimohon agar disampaikan kepada si mati atau roh si Fulan. Tidakkah ianya satu perbuatan yang janggal?

BAB KEDUA
DOA SELAMAT UNTUK KEMATIAN
DOA selamat boleh digambarkan dengan berkumpul bersama-sama (keluarga dan masyarakat sekampung atau lain-lain) dengan dihidangkan makanan oleh keluarga yang mengalami kematian. Ianya dilakukan di rumah keluarga yang mengalami kematian pada hari kematian atau hari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus atau sebagainya.Sebenarnya, apabila diperiksa, dirungkai dan diperhatikan satu persatu di dalam kitab-kitab Safiyah sama ada pada kitab Feqah, tafsir mahu pun syarah-syarah hadith, amalan doa selamat telah ditemui di situ bahawa ianya adalah amalan yang dilarang atau dengan kata lain ialah haram.
Hal ini sebenarnya belum diketahui oleh banyak pengikut mazhab Syafie di kalangan kita sendiri. Jika ada yang tahu, tentu jumlahnya hanya segelintir sahaja. Oleh itu, mari kita ikuti bersama bagaimana pandangan ulama-ulama
mazhab Syafie di dalam hal ini
.
1. Di dalam kitab Feqh I'anatut Talibin telah menyatakan,
"Ya, apa-apa yang dilakukan oleh orang yaitu berkumpul di rumah keluarga mayat dan dihidangkan makanan untuk perkumpulan itu, ia adalah termasuk bid'ah mungkarat (bid'ah yang diengkari agama). Bagi orang yang membanterasnya akan diberi pahala". (I'anatut Talibin, syarah Fathul Mu'in : juz 2, hal 145)
2. Imam Syafie sendiri tidak menyukai amalan berkumpul di rumah kematian sepertimana yang telah beliau kemukakan di dalam kitab al-Umm, "Aku tidak sukakan mat'am yaitu berkumpul (di rumah keluarga mayat) meskipun di situ tiada tangisan kerana hal tersebut malah akan menimbulkan kesedihan".
(As-Syafie al-Umm : juz 1; hal 248)

3. Selanjutnya di dalam kitab I'anatut Talibin juga ada menyebut lagi, "Dan perkara yang sudah menjadi kebiasaan yaitu keluarga mayat menghidangkan makanan untuk para jemputan yang berkumpul, adalah satu perkara bid'ah yang tidak disukai agama (Islam). Hal ini samalah seperti berkumpul di rumah keluarga kematian itu sendiri kerana terdapat hadith sahih yang telah diriwayatkan oleh Jarir r.a yang berkata, "Kami menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian yang menghidangkan makanan untuk jamuan para jemputan adalah sama dengan hukum niyahah (meratapi mayat) yaitu haram". (I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)

4. Pengarang kitab I'anah juga ada mengambil keterangan sahih di dalam kitab Bazzaziyah yaitu,"Dan ianya dibenci, menyelenggarakan makanan pada hari pertama (kematian), hari ketiga, sesudah seminggu dan juga memindahkan makanan ke tanah kubur secara bermusim-musim". (I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)

5. Di dalam kitab Fiqh Mughnil Muhtaj ada menyebutkan, "Adalah, keluarga kematian yang menyediakan makanan dan orang ramai berkumpul di rumahnya untuk menjamu, merupakan bid'ah yang tidak disunatkan, dan di dalam hal ini Imam Ahmad telah meriwayatkan hadith yang sahih daripada Jarir bin Abdullah, berkata, "Kami menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk menjamu para hadirin, adalah sama hukumnya seperti niyahah (meratapi mayat) yaitu haram". (Mughnil Muhtaj, juz1, hal 268)
6. Di dalam kitab Fiqh Hasyiyatul Qalyubi ada menyatakan,"Syeikh ar-Ramli ada berkata, "Di antara bid'ah yang mungkarat (yang tidak dibenarkan agama), yang dibenci apabila diamalkan sebagaimana yang telah diterangkan di dalam kitab ar-Raudhah, yaitu apa-apa yang telah dilakukan oleh orang yang dinamakan "kifarah" dan hidangan makanan yang disediakan oleh tuan rumah kematian untuk jamuan orang yang berkumpul di rumahnya sama ada sebelum atau sesudah kematian, serta penyembelihan di tanah kubur". (Hasyiyatul Qalyubi, juz 1, hal 353)

7. Di dalam kitab Fiqh karangan imam Nawawi yaitu kitab al-Majmu' syarah Muhazab, ada menyebutkan,"Penyedian makanan yang dilakukan oleh keluarga kematian dan berkumpulnya orang yang ramai di rumahnya, adalah tidak ada nasnya sama sekali, yang jelasnya semua itu adalah bid'ah yang tidak disunatkan". (an-Nawawi, al-Majmu' syarah Muhazab, juz 5, hal 286)
8. Pengarang kitab I'anatut Talibin juga turut mengambil keterangan di dalam kitab al-Jamal syarah al-Minhaj yang berbunyi seperti berikut,"Dan di antara bid'ah mungkarat yang tidak disukai ialah sesuatu perkara yang sangat biasa diamalkan oleh individu yaitu majlis menyampaikan rasa duka cita (kenduri arwah), berkumpul dan membuat namuan majlis untuk kematian pada hari keempat puluh, bahkan semua itu adalah haram". (I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)
9. Selanjutnya, pengarang kitab tersebut juga ada mengambil lagi keterangan daripada kitab Tuhfatul Muhtaj syarah al-Minhaj yang berbunyi,"Sesuatu yang sangat dibiasakan oleh seseorang dengan menghidangkan makanan untuk mengundang orang ramai ke rumah keluarga kematian merupakan bid'ah yang dibenci sebab ada hadith yang telah diriwayatkan oleh Jarir yang berkata, "Kami (para sahabat nabi Muhammad SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah
keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk majlis itu adalah sama dengan hukum niyahah yaitu haram". (I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

10. Pengarang kitab tersebut mengambil lagi fatwa dari mufti mazhab Syafie, Ahmad Zaini bin Dahlan,
"Dan tidak ada keraguan sedikit pun bahawa mencegah umat daripada perkara bid'ah mungkarat ini sama seperti halnya menghidupkan sunnah nabi Muhammad SAW. Mematikan bid'ah seolah-olah membuka pintu kebaikan seluas-luasnya dan menutup pintu keburukan serapat-rapatnya kerana orang lebih suka memaksa-maksa diri mereka berbuat hal-hal yang akan membawa kepada sesuatu yang haram". (I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)
11. Dan di dalam kitab Fiqh Ala Mazahibil Arba'ah menyatakan,
"Dan di antara bid'ah yang dibenci agama ialah sesuatu yang dibuat oleh individu yaitu menyembelih haiwan-haiwan di tanah kubur tempat mayat di tanam dan menyediakan hidangan makanan yang diperuntukkan bagi mereka yang datang bertakziah". (Abdurrahman al-Jaza'iri, al-Fiqhu Ala Mazahibil Arba'ah, juz 1, hal 539) Demikianlah di antara pendapat-pendapat para ulama Syafi'iyah berkenaan doa selamat atau kenduri arwah. Mereka telah bersepakat bahawa amalan tersebut adalah bid'ah mungkarat atau bid'ah yang dibenci. Dasar hukum yang mereka
ambil (mengikut kata sepakat atau ijma' para sahabat nabi Muhammad SAW) ialah haram hukumnya mengamalkan amalan tersebut.
Bukankah lebih baik jika tuan rumah kematian menggantikan kenduri doa selamat untuk kematian atau lebih mudah disebut sebagai kenduri arwah kepada satu amalan bersedekah kepada ahli faqir dan miskin. Sebabnya ialah, jika kenduri tersebut diniatkan untuk bersedekah makanan kepada orang yang menjamu hidangannya, kebanyakan orang yang hadir di dalam jamuan tersebut tentunya di kalangan orang yang berkemampuan dan sudah tentu sedekah tersebut kurang bererti bagi mereka atau tidak bererti sama sekali.
Tambahan pula, jika amalan tersebut diniatkan sebagai amalan bersedekah, maka akan terjadilah satu amalan yang mencampuradukkan antara yang hak dan yang batil kerana amalan tersebut melibatkan dalam dua hal yaitu, ia diniatkan sebagai bersedekah yaitu amalan yang disukai agama dan dalam masa yang sama, berkumpul di dalam satu majlis jamuan yang telah diadakan di rumah kematian pula adalah satu perkara yang amat dilarang oleh agama atau disebut haram. Mengirimkan pahala bacaan tahlil itu juga merupakan satu amalan yang sia-sia. Oleh itu, kedua-duanya sama sekali tidak boleh dilakukan kerana telah mencampuradukkan yang hak dan yang batil.

BAB KETIGA
MENGHORMATI KELUARGA KEMATIAN
MENURUT sunnah nabi Muhammad SAW, jiran tetangga hendaklah menghormati ahli keluarga yang sedang mengalami kematian dengan membantu seperti menghadiahkan kepada mereka makanan atau lain-lainnya agar keluarga tersebut merasa ia dihormati dan seolah-olah meringankan bebanan yang dialaminya. Hal ini benar-benar dianjurkan agama Islam lebih-lebih lagi keluarga tersebut lahir daripada orang-orang yang tidak berkemampuan.
Imam Syafie berkata di dalam kitabnya al-Umm yang berbunyi, "Dan aku sangat suka kepada para jiran tetangga dan kaum kerabat keluarga yang mengalami kematian menghadiahkan makanan yang mengenyangkan untuk keluarga kematian sama ada pada hari pertama kematian atau pada malamnya. Amalan demikianlah adalah sunnah".
(as-Syafie, al-Umm, juz1, hal 247)
Seterusnya, imam Syafie mengatakan bahawa hal tersebut ada disentuh di dalam satu riwayat daripada Abdullah bin Ja'far r.a, "Abdullah bin Ja'far berkata, "Apabila sampai sahaja berita Ja'far terbunuh, nabi Muhammad SAW bersabda, "Hendaklah kamu membuatkan makanan untuk keluarga Ja'far kerana mereka telah ditimpa kesusahan". (HR as-Syafie, al-Umm, juz1 hal 247)
Hadith ini menunjukkan bahawa mengikut sunnah nabi Muhammad SAW, kaum muslimin yaitu sama ada kaum kerabat daripada keluarga yang mengalami kematian atau jiran tetangga hendaklah berusaha menghiburkan keluarga kematian yang sedang mengalami kesedihan dengan cara memberikan bantuan yang berupa makanan atau selainnya lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut adalah daripada golongan miskin atau tidak berkemampuan. Oleh sebab itu, imam Syafie r.a juga menganjurkan kepada kaum muslimin agar mengamalkan ajaran yang mulia ini, kerana ianya sesuai dengan sunnah nabi Muhammad SAW.Namun begitu, tradisi masyarakat pada hari ini melakukan amalan yang sebaliknya bertentangan dengan anjuran yang telah disarankan oleh imam Syafie. Mereka juga masih lagi mengamalkan tradisi bertahlil, doa selamat, kenduri arwah hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus dan lain-lainnya dengan di samping itu menyediakan hidangan makanan untuk tetamu yang membacakan tahlil dan doa. Sebenarnya amalan itu adalah salah dan amat tidak dibenarkan oleh para ulama Syafi'iyah yang berpedomankan kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW.



Sebagai kesimpulannya,
1. Menurut pendapat para ulama dari kalangan mazhab Syafi'e (Syafi'iyah), bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang dikirimkan kepada si mati adalah tidak sampai kepada roh si mati.
2. Pendapat-pendapat tersebut berdasarkan firman Allah di dalam al-Qur'an surah an-Najm, ayat 39 yang memberi maksud, manusia tidak akan memperoleh pahala kecuali daripada hasil amalannya sendiri.
3. Segala amalan bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang dikirimkan kepada roh si mati tidak akan sampai kepadanya bahkan sia-sia sedangkan Islam amat melarang umatnya berbuat perkara yang sia-sia.
4. Majlis bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah atau berkumpul di rumah keluarga si mati dengan disediakan hidangan makanan untuk para tetamu adalah dilarang, mengikut para ulama yang bermazhab imam Syafie. Malah ada di antara mereka mengatakan bahawa ia adalah Bid'ah Mungkarat yaitu bid'ah yang tidak diakui Islam. Ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah Bid'ah Ghairu Mustahab yaitu bid'ah yang tidak pernah disunatkan dan segelintir daripada ulama tersebut mengatakan amalan tersebut adalah Bid'ah Makruhah yaitu bid'ah yang dibenci.
5. Segala amalan Bid'ah Mungkarat adalah haram.
6. Bertahlil dan kenduri arwah di rumah keluarga si mati yang menyediakan makanan hukumnya haram berdasarkan sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh seorang sahabat nabi Muhammad SAW, Jarir bin Abdullah yang berkata, "Kami (para sahabat nabi SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga si mati di samping dihidangkan makanan adalah sama hukumnya dengan niyahah yaitu haram".
7. Hukum haram berkumpul di rumah keluarga si mati dengan dihidangi makanan telah pun disepakati oleh para ijma' ulama dan para sahabat nabi SAW kerana hadith daripada Jarir r.a yang berkata, "Kami (para sahabat nabi Muhammad SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga si mati di samping dihidangkan makanan adalah sama hukumnya dengan niyahah yaitu haram". Tidak ada seorang pun di antara mereka yang membantahnya.
8. Menurut sunnah nabi Muhammad SAW, jika terdapat salah sebuah keluarga yang ditimpa kematian daripada anggota keluarganya, hendaklah kaum muslimin sama ada di kalangan kaum kerabat atau sebagai jiran mereka, memberikan kehormatan dengan menghadiahkan bahan makanan lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut lahir daripada golongan yang tidak berkemampuan atau miskin.
9. Dapat dikatakan di sini, bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang sering diamalkan oleh masyarakat pada hari ini adalah satu amalan yang amat bertentangan dengan ajaran Islam yaitu melalui al-Qur'an dan sunnah nabi Muhammad SAW.
10. Walau bagaimanapun, kaum muslimin seharusnya menjalinkan ukhuwah Islamiyah dan memberikan sikap toleransi kepada sesama muslim yang lain meskipun mereka mengamalkan bermacam amalan tradisi. Kaum muslimin juga digalakkan supaya selalu membaca dan meneliti serta berusaha meningkatkanilmu pengetahuan agar dapat meluaskan pandangan dan pengetahuan supaya dapat memilih di mana yang hak dan yang batil serta tidak hanya mengikut-ikut di dalam bermazhab. Dengan demikian, tentunya tali ikatan ukhuwah Islamiyah dapat dijalinkan dengan lebih erat dan kukuh.


Posting Terkait:

3 komentar:

Poskan Komentar

Postingan boleh disebarluaskan, asalkan menyertakan link kembali ke halaman ini.

Berkomentar dengan santun dan hindari SPAM !

Back to top